Oleh :
Muhammad Rizky Hilmy Pajak C
Ini adalah 50 Nasihat Luqman Al Hakim kepada Anaknya,
Apabila aku tidak sempat menyampaikan kepada anak-anakku, Semoga suatu hari
mereka sempat membaca 50 Nasihat ini dan mengamalkannya.Semoga mereka menjadi
anak yang Soleh dan Solehah, berbakti kepada orang tua, menjadi pembela bagi
agama-Nya, bermanfaat bagi bangsa dan negaranya.Amin.
Luqman Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang dari sisi
Allah Yang Maha Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati anaknya:
1. “Wahai anak kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu
dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir
di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk melakukan
perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah SWT
tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak mendurhakai Allah SWT. Takutlah
kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan
terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3. “Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana
kurniaan-Nya. Orang yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang
kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana
engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu
tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak
mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini
bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau
ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang
bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah
SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan
dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah
SWT. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia
akan sentiasa menerima kemulian dari Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala
tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap
sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela
pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta
takbur, Allah SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi
bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang
melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang
yang berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan
sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia
marah.Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka
bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan.Bila tidak demikian, maka
berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah
dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya.Namun
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan
disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi
racun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu
akan menyesal.”
14. “Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim
lagi berilmu.Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara
kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau
bukan kerana sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa
tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna
bagimu, dan janganlah mensia-siakan hartamu.”
16. “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah
hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di
rumah orang lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan
manusia, jagalah lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan
mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan
lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah
(perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang
yang tidak cerdik sebagai utusan.Maka bila tidak ada orang yang cerdik,
sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan
orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka
bukan seorang yang jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong
itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja
berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air
mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa
dirimu kerana yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam
setiap kejadian dan urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di
antara takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk
menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat
sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada
kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang
yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah
lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja
kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu
barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum
tentu menimbulkan kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan
memeluk yang terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat
daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan
tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan
untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan
makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah
(malas) seluruh anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan
hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab
keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan
orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak
dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap
ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu
derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat
baiklah dengan ibu dan ayahmu.Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan
perkataan mahupun perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu
kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan
baja bagi tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan
rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada
Allah SWT, dia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan
sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam
di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat
Mengetahui segala sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan
di dalam dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari
tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang
tidak mahu mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya
mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada
semua itu adalah bilamana engkau mempunyai jiran yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan
memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada
hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan
gelisah di waktu malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang
Allah bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada
kebaikan yang amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan
ini lantaran kurniaan-Nya yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang
melimpah ruah, di taman dunia yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta
tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu
sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan
dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan
Allah SWT bukanlah untuk dunia sahaja.Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih
hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul
sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk
mempelajari apa yang belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa
yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan
mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu
terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada
Allah SWTlebih mendekatkan diri daripada mulia dengan maksiat (perkara
menyebabkan dosa) kepada-Nya.Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab
kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya
terlebih dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat
memahami untuk berfikir dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
0 komentar:
Posting Komentar